Thursday, 14 July 2011

Bidalan Melayu Tentang Kecantikan Wanita

Melayu adalah satu bangsa yang penuh dengan kias bahasanya. Setiap bahasanya adalah berprosa kata yang tinggi ataupun dengan kata yang lain meminta untuk bangsanya sendiri cepat memahami rahsia disebalik tutur bicara. Kadang kala yang disampaikan itu lain, yang dimaksudkan pula lain. Itulah Melayu yang kaya dengan nilai bahasanya. Gadis Melayu itu terkenal dengan sopan santunnya serta lemah lembutnya. Berbeza pula dengan para jejaka Melayu, biarpun tutur caranya bersopan santun, merendah diri, dan berlemah lembut tetapi perilaku jejaka Melayu ini ternyata tidak sama dengan tutur bicaranya kerana terkenal dengan kegagahannya.


Perumpamaan Melayu terlalu banyak untuk diceritakan yang mana setiap satu perumpamaan itu nyata memberi makna yang mendalam. Termasuklah perumpamaan yang akan saya bincangkan kali ini yang mana menceritakan tentang kejelitaan gadis gadis Melayu. Mengapa pula kaum hawa ini lebih banyak perumpamaannya berbanding kaum adam? Kerana kaum hawa ini terlalu taksub dengan kejelitaan yang dimilikinya. Ada beberapa andaian mengapa wanita begitu taksub dengan kecantikan. Andaian yang utama adalah mereka menganggap kekuatan wanita itu terletak pada kecantikannya. Jika mereka merasakan diri mereka tidak cantik, maka mereka akan hilang keyakinan diri dan berasa gagal dalam kehidupan mereka. Daripada bahagian rambut, hingga ke hujung kaki, ternyata setiap satunya mempunyai perumpamaan yang menarik.

Perempuan atau wanita diperikan sebagai manusia yang cantik, lembut, sopan, setia, penyayang, pelindung, dan pelbagai peri yang selayaknya. Kewanitaan seorang wanita bukan sahaja terletak pada raut wajahnya, malah tingkah lakunya juga. Melalui bahasa, wanita melantunkan bentuk dan gaya bahasa, nada suara, bahasa tubuh, dan pelahiran raut wajah untuk menyatakan pemikiran dan perasaan yang mempengaruhi perlakuannya. Melalui bahasa juga, wanita membentuk pandangan dunianya dan pandangannya terhadap diri sendiri untuk mencorakkan peranannya di dalam masyarakat. Sementelah, wanita dianugerahkan kuasa bahasa yang cukup istimewa. Bukankah bahasa wanita yang paling dalam dan menjadi senjatanya yang paling berkuasa ialah air mata.




Perumpamaan atau bidalan yang sering dihubungkaitkan dengan wanita adalah
"Rambutmu ikal mayang",
"Hidungmu mancung bak seludang",
"Pipimu bak pauh dilayang",
"Matamu bersinar bak bintang kejora",
"Bibirmu merah bak delima",
"Kulitmu putih kuning bak langsat ranum",
"Dagumu bak lebah bergantung",
"Alisnya lentik berlesung pipit",
"Lehermu jinjang meneguk air berkaca",
"Pipimu tergantung bak ulas bermuda",
"Gigimu tersusun bak sirih disusun",
"Kulitmu putih bak kapas di busur",
"Jarimu menghalus bak kacang bendi",
"Bibirmu bak seulas limau",
"Pinggangmu ramping bak kerengga",
"Betismu bak bunting keladi",
"Tumitmu tidak seperti telur dikupas",
"Sayur menghijau mencelah dada",
"Jalannya melamar cinta",
"Suaranya melempar rindu",
"Berjalannya lenggak itik",

Bidalan di atas, jika diamati dengan mendalam, ianya melambangkan betapa indah bahasa Melayu terhadap kejelitaan Sang Gadis. Tetapi jika kita pandang semula, siapakah yang berperanan penting dalam memperkasakan perumpamaan ini jika bukan Sang Jejaka? Mengapa saya katakan begini, inilah bahasa yang digunakan para jejaka Melayu suatu ketika dahulu untuk menggambarkan kejelitaan para gadis pujaan hati mereka. Maknanya, jejaka Melayu lebih tinggi nilai bahasanya (*,*) .

Setiap perumpaan itu mempunyai maksud yang tersendiri. Saya ada berkenalan dengan seorang pelukis di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan berbicara dengan beliau tentang bidalan Melayu terhadap gadis Melayu. Mengikut kata-kata beliau, Perumpamaan tersebut, jika diekspresikan melalui lukisan, akan menghasilkan satu tubuh gadis yang amat jelita, amat ayu.

Itulah rahsia di sebalik bahasa kita. Jadi,"Sayangi Bahasa, Cintai Budaya" kerana"Bahasa Jiwa Bangsa". Itulah Melayu yang kaya dengan pusakanya.

Apa-apa pun, kejelitaan yang dikurniakan itu adalah pinjaman sementara dan pada bila-bila masa sahaja boleh ditarik semula. Jadi, bersyukur dan belajarlah mensyukuri nikmat kurniaanNya. Sememangnya kejelitaan itu adalah anugerah namun bukanlah semua kejelitaan itu adalah untuk tatapan awam. Sebagai muslim, kita perlu menjaga batas-batas pergaulan kita. Menjaga kejelitaan daripada terdedah itu adalah lebih baik. Kejelitaan serta kecantikan itu adalah aurat dan aurat itu adalah maruah diri kita. Jadi peliharalah maruah diri.

Kembara Saudagar Tekua


Mendengar cerita yang dibawa pulang oleh seorang guruku yang bertandang ke Serambi, Astana Raja, membuatkan aku berkobar-kobar untuk meneruskan pengembaraan untuk menyelami sejarah asal usul keturunan bangsa dari akar umbi. Terlalu banyak kehebatan yang diceritakan yang ada pada diri setiap Bani Jawi ini dan apa yang lebih menarik adalah, setiap cerita itu disusuli dengan fakta serta bukti-bukti yang sahih yang menyokong setiap hujah-hujah tersebut. Apa yang pasti, pencarian mengenai rahsia di sebalik huruf Mim itu semakin menemui kemuncaknya.



Zainal Al-Johan, merupakan pengasas Teraju Istiadat Sdn. Bhd. begitu gigih mengumpul artifak-artifak pupus Melayu yang menjadikan bukti yang kukuh bahawa Bangsa Mim itu sudah mencapai taraf kemajuan yang tinggi dari segi teknologi berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Sehingga kini, beliau sudah berjaya mengumpul lebih 200 artifak pupus Melayu yang berusia lebih 1000 tahun. Antaranya ialah,Syiling Dinar Emas zaman Parameswara yang mencecah harga pasaran setinggi RM130 juta dan Lantera milik Laksamana Cheng Ho. Apa yang menarik adalah, kata-kata daripada seorang pejuang Melayu ini, "Jika hamba mahukan kekayaan, sudah lama hamba jualkan harta tinggalan nenek moyang kita semua ni, tetapi bukanlah kekayaan yang hamba inginkan, tetapi hamba ingin memperjuangkan nasib orang Melayu kita."



Dinar Emas Sultan Iskandar Syah


Lantera milik Laksamana Cheng Ho

Jelas sekali, artifak yang paling bernilai yang ada dalam simpanan beliau adalah Keris Tempa Melaka 21 lok yang merupakan keris kesayangan Laksamana Hang Tuah yang dibawa ke mana-mana sahaja. Struktur pembuatan keris ini jelas sekali menunjukkan bahawa Orang Melayu kita sudah sangat maju dari sudut teknologi pembuatan senjata, mana tidaknya jika mata Keris Tempa Melaka ini diperbuat daripada 21 jenis logam yang ditempa oleh seorang Empu Keris yang bernama Sang Guna.


Keris Tempa Melaka

Ketika memegang keris hikmat ini, tiada kata yang dapat ditafsirkan lagi melainkan merasakan semangat seorang pahlawan bangsa yang menyerap ke dalam diri ini. Walaupun keris ini sudah menjangkau usia lebih 600 tahun, namun ianya masih berada dalam keadaan baik. Jika dunia mengatakan senjata tertajam adalah pedang Samurai buatan Jepun yang ditempa dengan menggunakan 12 jenis logam yang dijual pada harga USD350K, maka fakta tersebut jelas sekali tidak boleh menandingi ketajaman serta ketinggian teknologi Orang Melayu dalam pembuatan Keris Tempa Melaka ini.

Bukan itu sahaja, Zainal juga sentiasa membawa meriam tangan milik Laksamana Hang Tuah yang digelarkan Rentaka. 600 tahun lalu orang Melayu sudah jauh lebih maju kerana memiliki meriam tangan dan siapa kata Orang Melayu dulu kala berperang hanya bersenjatakan keris, parang dan tombak? Sejak dahulu lagi Orang Melayu kita sudah mencipta pelbagai jenis senjata api seperti Meriam milik Sultan Muzaffar Syah sepanjang 50 kaki yang dilarikan oleh Portugis yang kini tersadai di Gua, India, Rentaka milik Laksamana Hang Tuah, serta meriam kecil yang digelar Lela.


Rentaka milik Laksamana Hang Tuah

Seharusnya semangat Laksamana Hang Tuah, perlu ada dalam diri setiap bangsa Melayu ini sebagaimana kata-kata termasyhur beliau "Kita orang Melayu jangan berundur walau sejengkal sekalipun. Barang siapa yang berundur akan ku penggal kepalanya dengan Keris Tempa Melaka yang tiga jengkal ini kerana sesungguhnya Bangsa
Melayu bukanlah bangsa yang boleh digertak-gertak."


Sejak di bangku sekolah lagi kita semua sudah ditipu oleh penjajah. Hasil kajian mendapati bahawa, terlampau banyak fakta yang dipinda di dalam buku teks Sejarah di sekolah yang mana isi-isi kandungan di dalam buku teks tersebut jelas nyata telah banyak diputarbelitkan. Kita semua sudah lama ditemberang oleh golongan penjajah yang takut warisan keturunan Melayu
mengetahui bahawa Bangsa Melayu sudah lama lebih maju daripada mereka. Hang Tuah dan Hang Jebat tidak pernah bertikam, tetapi di dalam buku Hikayat Hang Tuah yang ada di Dewan Bahasa dan Pustaka mengatakan dua Laksamana kita ini bertikam, bodoh benar dua Laksamana kita ini jika mereka bertikam, mereka bukannya budak-budak, mereka adalah Laksamana Empayar Melaka yang mana di bawah mereka mempunyai 22 jajahan takluk. Jika kita perhatikan, buku Hikayat Hang Tuah itu TIADA NAMA PENULISNYA kerana apa? Kerana ianyaditulis oleh Sir Stamford Raffle yang terlalu fasih berbahasa Melayu dan pandai bertulisan Jawi. Dalam buku itu dinyatakan bahawa Hang Jebat mengamuk dan membunuh dayang-dayang di istana dan mengalir banyak darah keluar dari istana, sedangkan Hang Jebat tidak membunuh tetapi hanya menyepak bekas-bekas sisa sireh yang beratus banyaknya itu sehingga mengalir cecair merah keluar dari istana yang merupakan sisa sireh yang dikunyah orang istana. Sedarlah Orang Melayu semua bahawa kita sudah lama ditemberang, buku Hikayat Hang Tuah bukanlah ditulis oleh Orang Kita tetapi Si Sialan Raffle. Raffle telah meminda sejarah dan fakta kehebatan Melayu kerana bimbang anak cucu Melayu akan datang mengetahui rahsia kehebatan Melayu ini.

Sejarah dunia mengatakan Ferdinand Megalan adalah orang pertama yang mengelilingi dunia, sedangkan beliau hanya duduk di atas kapal dan yang menjadi kelasi kapal tersebut adalahPanglima Awang Hitam atau lebih dikenali sebagai Henry The Black / Enrique de Malaccadan Ferdinan Megalan sendiri dibunuh di Filipina oleh Panglima Awang bersama pahlawan Melayu Filipina iaitu Si Lopu Lopu, seterusnya Panglima Awang meneruskan misi pengembaraannya dan selamat sampai di Sepanyol. Maka sempurnalah misi Panglima Awang sebagai orang pertama yang mengelilingidunia dan bukanlah Megalan. Atas kejayaan itu Panglima Awang diangkat menjadi Gabenor di sana dan menamakan satu wilayah di sana dengan nama Malacca.

Dalam buku teks sekolah, pahlawan-pahlawan dan pejuang-pejuang Melayu dikatakan pemberontak dan pembelot, sedangkan sialan penjajah dikatakan hero. Buku lebih mengagung-agungkan nama-nama Barat daripada pejuang kita, sedangkan Orang Kita sudah lama mencapai taraf kemajuan teknologi. sebagai contoh lain, Bahtera Nabi Nuh yang tersadai di Gunung Ararat itu yang berusia lebih 8000 tahun itu adalah dicipta oleh Orang Melayukerana apa? kerana ketika pengkaji barat memasuki Bahtera tersebet mereka telah menjumpai struktur binaan kapal yang bersenikan keMelayuan dan apa yang lebih memeranjatkan, mereka menjumpai banyak artifak Melayu di dalamnya seperti Madu Tualang yang mana madu ini hanya boleh didapati dari Tanah Melayu sahaja.

Ini bermakna, Orang Melayu kita sudah lama mencapai taraf kemajuan teknologi. Dengan kemajuan yang kita capai ini serta kesatuan yang kita bawa ini, nescaya musuh kita semua tidak akan senang melihat kita semua dan mereka sendiri bakal tumpas ditangan kita semua. Oleh itu, perjuangan Melayu perlu diteruskan oleh seluruh bangsa Melayu kerana Perjuangan Bangsa Melayu ini sama seperti Perjuangan Islam kerana Melayu itu beragama Islam. Kita semualah Tentera Panji-panji Hitam dari Timur yang bakal bangkit untuk meneruskan syiar ini.

Pertemuan dengan seorang pejuang Melayu ini aku anggap sebagai satu RAHMAT untuk meberi kesedaran kepada seluruh ummat tentang apakah yang sebenar-benarnya yang di katakan Bangsa Mim, Bani Ta Mim iaitu Tanah Melayu.



Benar kata ayah, kehebatan MELAYU itu terletak pada kalimahnya itu. Sama-samalah kita rungkai segala isi tersurat dan tersirat di sebalik kalimah ملايو

Pertemuan Antara 2 Zainal
(Zainal Al-Johan .. Zainal As-Salleh)

Rasulullah S.A.W pernah menepuk belakangSalman Al-Farisi dan mengatakan bahawa"keturunan inilah yang akan menjadi tentera aku pada akhir zaman ini."

Kita bangsa Melayu merupakan keturunan Parsi, Nabi Allah Iskandar Zulkarnain merupakan moyang kita dan sesungguhnya keturunan Melayu ini berasal daripada golongan yang terbaik.

Nabi Muhammad S.A.W adalah rasul terbaik, Islam adalah agama terbaik. Melayu adalah bangsa terbaik.

Rasulullah S.A.W bersabda "AL-MAHDI akan dat
ang setelah muncul pasukan PANJI-PANJI HITAM dari sebelah TIMUR yang mana PASUKAN ITU SELALU MENANG dan TIDAK PERNAH KALAH dengan pasukan mana pun." (Ibnu Majah)

Saturday, 11 June 2011

Tengkolok

Seluar intan dikarang
Karangan Husin dengan Hasaan
Tidak dapat zaman sekarang
Nantikan angin bergilir musim
Bajunya baldu tengkolok kuning
Selembang kian Bugis Kemabayat
kerisnya Jalak Jantan
berkerawang di pangkalnya
Dihujung Subhanaallah
Tengkolok Kampuh Pelangi
Bukan pelangi zaman ini
Tiap sudut ada hikmat
Tiap sudut ada azimat

:Hikayat Malim Deman:

Tengkolok Alang
Bentuk destar ini diambil daripada contoh yang dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdul Samad, Selangor. Baginda dikatakan amat pandai mengikat destar baginda sendiri.

Destar



maka datanglah persalin,
jika akan jadi Bendahara,
lima ceper persalinannya,
baju seceper,
kain seceper,
destar seceper,
sebai seceper,
ikat pinggang seceper,
jikalau anak raja-raja,
dan para menteri ceteria empat ceper juga,
ikat pinggang tiada,

jikalau bentara,
sida-sida,
hulubalang tiga ceper,
kain seceper,
baju seceper,
destar seceper,
ada yang semuanya sekali seceper,
ada yang tiada seceper,
kain,
baju,
destar dibiru-biri sahaja,
maka diampu oleh hamba raja,
datang pada orang bergelar itu disampaikan di lehernya.

:Hikayat Abdullah:


Mengenali Busana Melayu : Tekua

ASSALAMUALAIKUM

Salam sembah hamba hulurkan buat sekalian pengunjung blog hamba yang tidak seberapa ini. Terlebih dahulu, ingin hamba dahulukan ucapan terima kasih buat tuan hamba sekalian kerana sudi bertandang ke blog hamba.

Tujuan utama hamba membina laman blog ini adalah untuk memperkenalkan satu busana agung milik Bangsa Melayu era Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang sekian lama digelapkan sejarah. Diri hamba terpanggil untuk mengarang blog ini supaya semua bangsa Melayu kembali mengenali busana warisan milik nenek moyang kita semua.

Alangkah indah kiranya dapat melihat orang Melayu masih mengekalkan pemakaian tradisional Melayu tak kira di mana jua mereka berada. Jika diamati dengan lebih terperinci, busana tradisional Melayu ini jelas sekali mempunyai nilai seninya yang tinggi. Ini tidak, ramai yang berperasaan malu untuk memakai busana ini tetapi bangga memakai pakaian yang diperkenalkan oleh bangsa lain. Kadangkala sedih melihat orang Melayu sendiri memerli, mentertawakan orang Melayu lain yang memakai busana tradisional. Jangankan untuk memakai Tekua, pakai baju melayu atau baju kurung pun ada yang menyindir. Bayangkan, daripada atas kepala hingga ke kaki, semuanya diperbuat daripada kain songket yang ditenun oleh pandai songket. Ini membuktikan bangsa Melayu telah mencapai taraf ketamadunan yang tinggi seiring dengan kegagahan dan kehebatan empayar jajahan takluknya yang meluas sehingga ke seluruh Nusantara.

Tatkala rombongan kerajaan Portugis ke Tanah Melaka, mereka berhenti seketika di Goa, India dan melihat rakyat India di sana hanya memakai cawat. Maka dalam pemikiran dan tanggapan mereka, seandainya di Goa, rakyatnya hanya bercawat, apatah lagi di kawasan penghujung destinasi mereka, pastinya rakyat Melaka tiada bertamadun dan berbogel. Namun, tanggapan mereka ternyata sekali jauh meleset kerana setibanya rombongan Portugis di perlabuhan Melaka, mereka terkejut kerana para nelayan lengkap berpakaian dengan kain songket dengan tanjak di kepala. Tambahan pula para nelayan mengalungkan rantai emas dan gelang emas. Pasukan rombongan semakin hairan, jika di tepian pantai sahaja nelayan berpakaian sebegini rupa, bagaimana pula keadaannya di istana Sultan Melaka?

Hamba pun terfikir seketika, buku sejarah sememangnya menipu hamba sejak kecil lagi. Masakan kerajaan yang agung dan terbilang yang mempunyai 22 jajahan takluk tidak bertamadun? Inikan Semenanjung Emas. Pastinya rakyat jelata tahu nilainya.

Berbalik kepada busana Melayu yang digelapkan sejarah yang ingin hamba ceritakan. Pernahkah tuan hamba mendengar perkataan ini? T E K U A. Tekua merupakan pakaian rasmi golongan pembesar istana dan panglima Melayu. Jika disebut pada bahasa zaman sekarang, tekua merupakan Baju Kot untuk orang Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tekua diperbuat daripada kain songket dan dipakai bersama tanjak, baju, seluar mengan, samping dan bengkung. Ada juga yang hanya memakai Tekua bersama tanjak, baju, dan seluar mengan sahaja tanpa bengkung dan samping.

Tekua berasal daripada perkataan yang merujuk kepada sebuah daerah iaitu Tekua Par, sebuah daerang di Ligor. Namun pada masa sekarang, ramai yang tidak mengenali busana ini. Ramai dikalangan pesilat yang hanya mengenali Baju Layang atau dipanggil Baju Silang atau Baju Sikap. Tekua dan Baju Layang bukanlah satu perkara yang sama. Rekaannya amat berbeza. Jika Baju Layang, rekaannya labuh separas dengan hujung jari, panjang lengan hingga ke pergelangan dan belahan di tengah baju itu rapat serta berbutang di tengkuk. Berbeza dengan Tekua, rekaannya lebih singkat ketika berdiri dan ketika duduk, kaki tekua itu tidak diduduki dan separas sahaja dengan lantai. Panjang lengan pula sehingga sejengkal daripada pergelangan tangan dan belahan di tengah tidak rapat kira-kira berukutan empat jari dan diikat dengan kancing di bahagian dada.

Seluar Mengan pula adalah berbeza mengikut rekaan suku kaum. Walaupun hamba berdarah keturunan Jawa, hamba meminati rekaan Seluar Mengan daripada suku Bugis kerana di hujung kaki seluar disulamkan dengan rekaan corak Melayu. Ukuran seluar mengan ini kebiasaannya, labuh panjang hanya setakat sejengkal daripada buku lali dan ada juga yang membuat labuh namun tetap tidak melebihi buku lali (singkat). Seluar Mengan direka dengan mempunyai tepak di kawasan kelengkang (cawat) kerana sesuai untuk pergerakan panglima untuk bersilat dan bertempur. 

Ingin hamba tegaskan di sini bahawa, busana tradisional Melayu inilah yang paling hampir dengan pakaian sunnah Rasulullah SAW kerana tanjak merupakan serban orang Melayu. Jika Rasulullah SAW melilit serban sebanyak lima kali, tanjak atau destar atau tengkolok juga mempunyai lima tingkat. Rasulullah SAW memakai jubah, dan Tekua ini merupakan Jubah Melayu. Seluar Rasulullah SAW atas paras buku lali, Seluar Mengan juga rekaannya menepati ciri-ciri sunah Rasulullah SAW. Samping pula mempunya ciri yang sama dengan Kain Jubah Arab. Maka, Pakaian orang Melayu adalah yang paling hampir dengan pakaian Sunnah Rasulullah SAW.

Di bawah ini, hamba sertakan bersama antara rekaan Tekua dan Seluar Mengan yang ada dalam koleksi hamba.










Friday, 10 June 2011

Sakapur Sireh

Tiada kata secantik bahasa.
Pembuka bicara Sang Saudagar Tekua.

Mengenal semula warisan bangsa,
Busana panglima Melayu Melaka.

Indah disarung ke mana-mana,
Menjadi tarikan si anak mata.

Halus seninya tinggi nilainya,
Sepersalinan tradisi Melayu lama.

Dipakai sekalian rakyat jelata,
Lambang ketinggian ketamadunannya.

Adapun bendahara, mahupun laksamana,
Menjadi resmi busana panglima.

Jubah Melayu gelaran diterima,
Itulah dia busana Tekua.


: Saudagar Tekua :