Wednesday, 31 October 2012

Al-Fatihah

Assalamualaikum WBT.

Salam Cahaya Kasih.
Salam Perjuangan.
Salam Satu Nusantara.

Pertama kalinya, sebelum hamba memulakan bicara, marilah kita bersama-sama membacakan surah Al-Fatihah kepada Pemilik Asal laman blog ini, saudara Saudagar Tekua (Allahyarham Shahrul Fadzly Mohd Zainal) selaku Pengasas Utama Komuniti Keluarga Aktivis Busana Melayu kerana telah pun pergi meninggalkan kita semua daripada Alam Melayu ini.

Pemergian beliau ini bukanlah bermakna lenyap terus perjuangan ini, namun hamba sendiri memikul amanah terakhir yang ditinggalkan oleh beliau untuk hamba teruskan perjuangan dalam memartabatkan busana warisan Melayu ini. 

Sebak rasa di hati apabila seorang sahabat yang begitu gigih dan lantang dalam memperjuangkan perihal keMelayuan ini kini sudah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Namun setelah genap 30 hari, segalanya terjawab apabila hamba sendiri menemui Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim yang ditinggalkan di dalam Toko milik beliau khusus untuk beberapa orang sahabat juangnya dan seluruh ummat Melayu.

Tatkala tangan hamba mencapai lembaran kertas tersebut (yang bertulisan jawi) hamba mula rasa hairan "apa pulak jenis kitab ni". Terkejut rasa diri apabila lembaran yang disangkakan kitab itu rupa-rupanya tertera perkataan "Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim", sehelai demi sehelai hamba baca, hati mula rasa tidak sedap, akhirnya segala persoalan kehilangan sahabat terjawab apabila membaca setiap baris ayat yang dikarangkan.

Hamba terduduk, apabila mata ini terhenti pada ayat yang dikarangkan sahabat "usah dicari atau ditunggu, kerana setiap barang yang hadir pasti akan berlalu." Puas hamba memikirkan apakah yang tersirat di sebalik kata-kata ini, sehinggalah bacaan hamba sampai pada lembaran khas yang dikarang khusus buat hamba yang tertera tulisan jawi di atasnya "Warkah Terahsia Amanah Perjuangan Busana Melayu" yang mana di dalamnya tertera nama hamba sendiri atas permintaan beliau untuk hamba meneruskan Perjuangan Busana yang mana ada disebutkan beberapa nama sahabat busana lain untuk hamba temui dalam melestarikan "Pakaian Patut Melayu" seperti Abg Sopi, Apek, Abg Fariz, Johan Iskandar, Tun Farul, Saharudin Esa, dan Zainal Johan. 

Saat hamba ingin menulis kesemua ini, hamba gagahkan diri walau hati ini masih tertanya-tanya dimanakah perginya sahabat 3 beradik ini. Berat hati ini merasakan, bertambah berat lagi apabila diri yang masih cetek perihal busana ini diberikan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan ini. MasyaAllah. Hamba tidak dapat mengarang lebih panjang kerana segala yang dicatatkan beliau banyak yang terpaksa hamba rahsiakan dan sekadar ini sahaja yang dapat hamba kongsikan untuk tatapan semua. 

Mulai saat ini, hamba diamanahkan sendiri oleh sahabat untuk meneruskan Amanat Perjuangan Busana Toko Saudagar Tekua. Walau di mana beliau berada, andai benar beliau sudah tiada lagi, semoga beliau terus tenteram di sana. insyaAllah. Ely, aku akan cuba yang terbaik buat perjuangan ini. Alfatihah. 

(insyaAllah akan hamba kongsikan Warkah Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim ini apabila tiba masa yang ditetapkan nanti)

Wallaualam bissawab.

Faizee

Tuesday, 28 August 2012

Tun Dr. Mahathir bersama Tengkolok Tenggek Cenderawasih

Assalamualaikum. Salam Ukhwah. Salam Silaturahim. Rasanya masih belum terlewat untuk hamba ucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Sudah sekian lama hamba tiada berkesempatan untuk mengarangkan blog ini dan ianya terbiar suram begitu sahaja. Sejak menumpukan sepenuh masa perihal Busana Melayu ini, hamba tidak dapat menulis apa-apa perkembangan terbaru berkenaan Aktivis Busana Melayu...

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, hamba sekeluarga Aktivis Busana Melayu (ABM) melalui hari yang paling bersejarah apabila hamba sendiri diberi kesempatan untuk memakaikan Tengkolok Tenggek Cenderawasih kepada seorang pemimpin negara kita yang banyak memberi sumbangan kepada dunia Islam dan dunia Melayu. Beliau adalah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4...

Pemakaian tengkolok kepada Tun hanyalah simbolik untuk menyampaikan kepada  masyarakat amnya dan kepada seluruh penggiat warisan Melayu khususnya bahawa sesungguhnya sudah ada yang bangkit mempertahankan warisan pusaka bangsa. Tidak lain dan tidak bukan, sejarah yang dilalui ini adalah untuk memberitahu Tun bahawa ABM kini memikul tugas dalam mengembalikan semula Martabat Busana Warisan Melayu / Pakai Patut Melayu agar seluruh umat Melayu bangkit sedar akan pemakaian yang melambangkan identiti orang Melayu.

Hamba dan sahabat-sahabat ABM kini sedang melancarkan "REVOLUSI & TRANSFORMASI TANJAK" yang mana misi utama kami adalah dalam tempoh 3 tahun daripada sekarang, sekurang-kurangnya 50% orang lelaki Melayu akan kembali berTANJAK sebagai pakaian harian mereka yang melambangkan identiti keMELAYUan itu sendiri...

Tidak perlu berasa malu atau terasa kolot seandainya tuan hamba mengenakan tanjak di kepala kerana inilah pakaian yang dipakai oleh datuk nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Sewajarnya, pemakaian tanjak ini perlu dipelihara hingga ke hari ini demi mengangkat semula nama Melayu yang negerinya pernah menjadi Pusat Pentadbiran dan Dagangan Dunia. Sepertimana orang Arab memakai SERBAN, orang India memakai SARI, dan sepatutnya orang MELAYU perlu memelihara dan terus memakai TANJAK. Mengapa perlu malu dan dianggap kolot sedangkan dahulunya golongan yang memakai tanjak ini digeruni oleh setiap bangsa lain...

Semoga MELAYU kini TIDAK LUPA LAGI. Saat hamba memakaikan Tengkolok Tenggek Cenderawasih kepada Tun, inilah kata-kata yang menyuntik semangat dalam diri hamba...

Tun : Kamu semua dari mana?
ABM : Kami, MELAYU yang dah TAK LUPA Tun.
Tun : (tersenyum)... Alhamdulillah... Masih ada lagi... (terdiam seketika dengan menitiskan ir mata)... JANGAN LUPA LAGI...
ABM : Terima kasih Tun, ini semua kerana sajak Tun...








kredit kepada : Minaq-Jinggo

Wednesday, 4 April 2012

Set Tengkolok UMNO

Assalamualaikum.. Terima kasih kerana mengunjungi laman blog Saudagar Tekua.. Toko Saudagar Tekua kini mengeluarkan produk terbaru KHAS buat AHLI-AHLI UMNO seluruh Malaysia..

Set Songket LOGO UMNO
: Tengkolok + Sampin + Bengkung :


Untuk tempahan, sila hubungi Faizee : 0173465426

p/s : selalu sangat pergi Perhimpunan UMNO cuma pakai Baju Melayu + Songkok + Sampin UMNO, cuba buat satu PERUBAHAN dengan memakai satu set TENGKOLOK, SAMPIN & BENGKUNG yang tertera LOGO UMNO.. BARULAH BETUL BETUL MELAYU.. Semangat pun akan jadi lebih kuat :)