Tuesday 28 August 2012

Tun Dr. Mahathir bersama Tengkolok Tenggek Cenderawasih

Assalamualaikum. Salam Ukhwah. Salam Silaturahim. Rasanya masih belum terlewat untuk hamba ucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Sudah sekian lama hamba tiada berkesempatan untuk mengarangkan blog ini dan ianya terbiar suram begitu sahaja. Sejak menumpukan sepenuh masa perihal Busana Melayu ini, hamba tidak dapat menulis apa-apa perkembangan terbaru berkenaan Aktivis Busana Melayu...

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lepas, hamba sekeluarga Aktivis Busana Melayu (ABM) melalui hari yang paling bersejarah apabila hamba sendiri diberi kesempatan untuk memakaikan Tengkolok Tenggek Cenderawasih kepada seorang pemimpin negara kita yang banyak memberi sumbangan kepada dunia Islam dan dunia Melayu. Beliau adalah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4...

Pemakaian tengkolok kepada Tun hanyalah simbolik untuk menyampaikan kepada  masyarakat amnya dan kepada seluruh penggiat warisan Melayu khususnya bahawa sesungguhnya sudah ada yang bangkit mempertahankan warisan pusaka bangsa. Tidak lain dan tidak bukan, sejarah yang dilalui ini adalah untuk memberitahu Tun bahawa ABM kini memikul tugas dalam mengembalikan semula Martabat Busana Warisan Melayu / Pakai Patut Melayu agar seluruh umat Melayu bangkit sedar akan pemakaian yang melambangkan identiti orang Melayu.

Hamba dan sahabat-sahabat ABM kini sedang melancarkan "REVOLUSI & TRANSFORMASI TANJAK" yang mana misi utama kami adalah dalam tempoh 3 tahun daripada sekarang, sekurang-kurangnya 50% orang lelaki Melayu akan kembali berTANJAK sebagai pakaian harian mereka yang melambangkan identiti keMELAYUan itu sendiri...

Tidak perlu berasa malu atau terasa kolot seandainya tuan hamba mengenakan tanjak di kepala kerana inilah pakaian yang dipakai oleh datuk nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Sewajarnya, pemakaian tanjak ini perlu dipelihara hingga ke hari ini demi mengangkat semula nama Melayu yang negerinya pernah menjadi Pusat Pentadbiran dan Dagangan Dunia. Sepertimana orang Arab memakai SERBAN, orang India memakai SARI, dan sepatutnya orang MELAYU perlu memelihara dan terus memakai TANJAK. Mengapa perlu malu dan dianggap kolot sedangkan dahulunya golongan yang memakai tanjak ini digeruni oleh setiap bangsa lain...

Semoga MELAYU kini TIDAK LUPA LAGI. Saat hamba memakaikan Tengkolok Tenggek Cenderawasih kepada Tun, inilah kata-kata yang menyuntik semangat dalam diri hamba...

Tun : Kamu semua dari mana?
ABM : Kami, MELAYU yang dah TAK LUPA Tun.
Tun : (tersenyum)... Alhamdulillah... Masih ada lagi... (terdiam seketika dengan menitiskan ir mata)... JANGAN LUPA LAGI...
ABM : Terima kasih Tun, ini semua kerana sajak Tun...








kredit kepada : Minaq-Jinggo