Thursday 14 July 2011

Bidalan Melayu Tentang Kecantikan Wanita

Melayu adalah satu bangsa yang penuh dengan kias bahasanya. Setiap bahasanya adalah berprosa kata yang tinggi ataupun dengan kata yang lain meminta untuk bangsanya sendiri cepat memahami rahsia disebalik tutur bicara. Kadang kala yang disampaikan itu lain, yang dimaksudkan pula lain. Itulah Melayu yang kaya dengan nilai bahasanya. Gadis Melayu itu terkenal dengan sopan santunnya serta lemah lembutnya. Berbeza pula dengan para jejaka Melayu, biarpun tutur caranya bersopan santun, merendah diri, dan berlemah lembut tetapi perilaku jejaka Melayu ini ternyata tidak sama dengan tutur bicaranya kerana terkenal dengan kegagahannya.


Perumpamaan Melayu terlalu banyak untuk diceritakan yang mana setiap satu perumpamaan itu nyata memberi makna yang mendalam. Termasuklah perumpamaan yang akan saya bincangkan kali ini yang mana menceritakan tentang kejelitaan gadis gadis Melayu. Mengapa pula kaum hawa ini lebih banyak perumpamaannya berbanding kaum adam? Kerana kaum hawa ini terlalu taksub dengan kejelitaan yang dimilikinya. Ada beberapa andaian mengapa wanita begitu taksub dengan kecantikan. Andaian yang utama adalah mereka menganggap kekuatan wanita itu terletak pada kecantikannya. Jika mereka merasakan diri mereka tidak cantik, maka mereka akan hilang keyakinan diri dan berasa gagal dalam kehidupan mereka. Daripada bahagian rambut, hingga ke hujung kaki, ternyata setiap satunya mempunyai perumpamaan yang menarik.

Perempuan atau wanita diperikan sebagai manusia yang cantik, lembut, sopan, setia, penyayang, pelindung, dan pelbagai peri yang selayaknya. Kewanitaan seorang wanita bukan sahaja terletak pada raut wajahnya, malah tingkah lakunya juga. Melalui bahasa, wanita melantunkan bentuk dan gaya bahasa, nada suara, bahasa tubuh, dan pelahiran raut wajah untuk menyatakan pemikiran dan perasaan yang mempengaruhi perlakuannya. Melalui bahasa juga, wanita membentuk pandangan dunianya dan pandangannya terhadap diri sendiri untuk mencorakkan peranannya di dalam masyarakat. Sementelah, wanita dianugerahkan kuasa bahasa yang cukup istimewa. Bukankah bahasa wanita yang paling dalam dan menjadi senjatanya yang paling berkuasa ialah air mata.




Perumpamaan atau bidalan yang sering dihubungkaitkan dengan wanita adalah
"Rambutmu ikal mayang",
"Hidungmu mancung bak seludang",
"Pipimu bak pauh dilayang",
"Matamu bersinar bak bintang kejora",
"Bibirmu merah bak delima",
"Kulitmu putih kuning bak langsat ranum",
"Dagumu bak lebah bergantung",
"Alisnya lentik berlesung pipit",
"Lehermu jinjang meneguk air berkaca",
"Pipimu tergantung bak ulas bermuda",
"Gigimu tersusun bak sirih disusun",
"Kulitmu putih bak kapas di busur",
"Jarimu menghalus bak kacang bendi",
"Bibirmu bak seulas limau",
"Pinggangmu ramping bak kerengga",
"Betismu bak bunting keladi",
"Tumitmu tidak seperti telur dikupas",
"Sayur menghijau mencelah dada",
"Jalannya melamar cinta",
"Suaranya melempar rindu",
"Berjalannya lenggak itik",

Bidalan di atas, jika diamati dengan mendalam, ianya melambangkan betapa indah bahasa Melayu terhadap kejelitaan Sang Gadis. Tetapi jika kita pandang semula, siapakah yang berperanan penting dalam memperkasakan perumpamaan ini jika bukan Sang Jejaka? Mengapa saya katakan begini, inilah bahasa yang digunakan para jejaka Melayu suatu ketika dahulu untuk menggambarkan kejelitaan para gadis pujaan hati mereka. Maknanya, jejaka Melayu lebih tinggi nilai bahasanya (*,*) .

Setiap perumpaan itu mempunyai maksud yang tersendiri. Saya ada berkenalan dengan seorang pelukis di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur dan berbicara dengan beliau tentang bidalan Melayu terhadap gadis Melayu. Mengikut kata-kata beliau, Perumpamaan tersebut, jika diekspresikan melalui lukisan, akan menghasilkan satu tubuh gadis yang amat jelita, amat ayu.

Itulah rahsia di sebalik bahasa kita. Jadi,"Sayangi Bahasa, Cintai Budaya" kerana"Bahasa Jiwa Bangsa". Itulah Melayu yang kaya dengan pusakanya.

Apa-apa pun, kejelitaan yang dikurniakan itu adalah pinjaman sementara dan pada bila-bila masa sahaja boleh ditarik semula. Jadi, bersyukur dan belajarlah mensyukuri nikmat kurniaanNya. Sememangnya kejelitaan itu adalah anugerah namun bukanlah semua kejelitaan itu adalah untuk tatapan awam. Sebagai muslim, kita perlu menjaga batas-batas pergaulan kita. Menjaga kejelitaan daripada terdedah itu adalah lebih baik. Kejelitaan serta kecantikan itu adalah aurat dan aurat itu adalah maruah diri kita. Jadi peliharalah maruah diri.

3 comments:

  1. artikel sdr ini sangat cantik,semua orang patut baca.drpd dato prof dr hashim yaacob

    ReplyDelete
  2. Saudara nk tnye ni... Sayur menghijau mencelah dada tu pe mksudnye... Sbb cg bm saya, mak saya, kwn2 saya semua kata x pernah dengar

    ReplyDelete