ASSALAMUALAIKUM
Salam sembah hamba hulurkan buat sekalian pengunjung blog hamba yang tidak seberapa ini. Terlebih dahulu, ingin hamba dahulukan ucapan terima kasih buat tuan hamba sekalian kerana sudi bertandang ke blog hamba.
Tujuan utama hamba membina laman blog ini adalah untuk memperkenalkan satu busana agung milik Bangsa Melayu era Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang sekian lama digelapkan sejarah. Diri hamba terpanggil untuk mengarang blog ini supaya semua bangsa Melayu kembali mengenali busana warisan milik nenek moyang kita semua.
Alangkah indah kiranya dapat melihat orang Melayu masih mengekalkan pemakaian tradisional Melayu tak kira di mana jua mereka berada. Jika diamati dengan lebih terperinci, busana tradisional Melayu ini jelas sekali mempunyai nilai seninya yang tinggi. Ini tidak, ramai yang berperasaan malu untuk memakai busana ini tetapi bangga memakai pakaian yang diperkenalkan oleh bangsa lain. Kadangkala sedih melihat orang Melayu sendiri memerli, mentertawakan orang Melayu lain yang memakai busana tradisional. Jangankan untuk memakai Tekua, pakai baju melayu atau baju kurung pun ada yang menyindir. Bayangkan, daripada atas kepala hingga ke kaki, semuanya diperbuat daripada kain songket yang ditenun oleh pandai songket. Ini membuktikan bangsa Melayu telah mencapai taraf ketamadunan yang tinggi seiring dengan kegagahan dan kehebatan empayar jajahan takluknya yang meluas sehingga ke seluruh Nusantara.
Tatkala rombongan kerajaan Portugis ke Tanah Melaka, mereka berhenti seketika di Goa, India dan melihat rakyat India di sana hanya memakai cawat. Maka dalam pemikiran dan tanggapan mereka, seandainya di Goa, rakyatnya hanya bercawat, apatah lagi di kawasan penghujung destinasi mereka, pastinya rakyat Melaka tiada bertamadun dan berbogel. Namun, tanggapan mereka ternyata sekali jauh meleset kerana setibanya rombongan Portugis di perlabuhan Melaka, mereka terkejut kerana para nelayan lengkap berpakaian dengan kain songket dengan tanjak di kepala. Tambahan pula para nelayan mengalungkan rantai emas dan gelang emas. Pasukan rombongan semakin hairan, jika di tepian pantai sahaja nelayan berpakaian sebegini rupa, bagaimana pula keadaannya di istana Sultan Melaka?
Hamba pun terfikir seketika, buku sejarah sememangnya menipu hamba sejak kecil lagi. Masakan kerajaan yang agung dan terbilang yang mempunyai 22 jajahan takluk tidak bertamadun? Inikan Semenanjung Emas. Pastinya rakyat jelata tahu nilainya.
Berbalik kepada busana Melayu yang digelapkan sejarah yang ingin hamba ceritakan. Pernahkah tuan hamba mendengar perkataan ini? T E K U A. Tekua merupakan pakaian rasmi golongan pembesar istana dan panglima Melayu. Jika disebut pada bahasa zaman sekarang, tekua merupakan Baju Kot untuk orang Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tekua diperbuat daripada kain songket dan dipakai bersama tanjak, baju, seluar mengan, samping dan bengkung. Ada juga yang hanya memakai Tekua bersama tanjak, baju, dan seluar mengan sahaja tanpa bengkung dan samping.
Tekua berasal daripada perkataan yang merujuk kepada sebuah daerah iaitu Tekua Par, sebuah daerang di Ligor. Namun pada masa sekarang, ramai yang tidak mengenali busana ini. Ramai dikalangan pesilat yang hanya mengenali Baju Layang atau dipanggil Baju Silang atau Baju Sikap. Tekua dan Baju Layang bukanlah satu perkara yang sama. Rekaannya amat berbeza. Jika Baju Layang, rekaannya labuh separas dengan hujung jari, panjang lengan hingga ke pergelangan dan belahan di tengah baju itu rapat serta berbutang di tengkuk. Berbeza dengan Tekua, rekaannya lebih singkat ketika berdiri dan ketika duduk, kaki tekua itu tidak diduduki dan separas sahaja dengan lantai. Panjang lengan pula sehingga sejengkal daripada pergelangan tangan dan belahan di tengah tidak rapat kira-kira berukutan empat jari dan diikat dengan kancing di bahagian dada.
Seluar Mengan pula adalah berbeza mengikut rekaan suku kaum. Walaupun hamba berdarah keturunan Jawa, hamba meminati rekaan Seluar Mengan daripada suku Bugis kerana di hujung kaki seluar disulamkan dengan rekaan corak Melayu. Ukuran seluar mengan ini kebiasaannya, labuh panjang hanya setakat sejengkal daripada buku lali dan ada juga yang membuat labuh namun tetap tidak melebihi buku lali (singkat). Seluar Mengan direka dengan mempunyai tepak di kawasan kelengkang (cawat) kerana sesuai untuk pergerakan panglima untuk bersilat dan bertempur.
Ingin hamba tegaskan di sini bahawa, busana tradisional Melayu inilah yang paling hampir dengan pakaian sunnah Rasulullah SAW kerana tanjak merupakan serban orang Melayu. Jika Rasulullah SAW melilit serban sebanyak lima kali, tanjak atau destar atau tengkolok juga mempunyai lima tingkat. Rasulullah SAW memakai jubah, dan Tekua ini merupakan Jubah Melayu. Seluar Rasulullah SAW atas paras buku lali, Seluar Mengan juga rekaannya menepati ciri-ciri sunah Rasulullah SAW. Samping pula mempunya ciri yang sama dengan Kain Jubah Arab. Maka, Pakaian orang Melayu adalah yang paling hampir dengan pakaian Sunnah Rasulullah SAW.
Di bawah ini, hamba sertakan bersama antara rekaan Tekua dan Seluar Mengan yang ada dalam koleksi hamba.