Wednesday, 31 October 2012

Al-Fatihah

Assalamualaikum WBT.

Salam Cahaya Kasih.
Salam Perjuangan.
Salam Satu Nusantara.

Pertama kalinya, sebelum hamba memulakan bicara, marilah kita bersama-sama membacakan surah Al-Fatihah kepada Pemilik Asal laman blog ini, saudara Saudagar Tekua (Shahrul Fadzly) selaku Pengasas Utama Komuniti Keluarga Aktivis Busana Melayu kerana telah pun pergi meninggalkan kita semua daripada Alam Melayu ini.

Pemergian beliau ini bukanlah bermakna lenyap terus perjuangan ini, namun hamba sendiri memikul amanah terakhir yang ditinggalkan oleh beliau untuk hamba teruskan perjuangan dalam memartabatkan busana warisan Melayu ini. 

Sebak rasa di hati apabila seorang sahabat yang begitu gigih dan lantang dalam memperjuangkan perihal keMelayuan ini kini sudah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Namun setelah genap 30 hari, segalanya terjawab apabila hamba sendiri menemui Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim yang ditinggalkan di dalam Toko milik beliau khusus untuk beberapa orang sahabat juangnya dan seluruh ummat Melayu.

Tatkala tangan hamba mencapai lembaran kertas tersebut (yang bertulisan jawi) hamba mula rasa hairan "apa pulak jenis kitab ni". Terkejut rasa diri apabila lembaran yang disangkakan kitab itu rupa-rupanya tertera perkataan "Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim", sehelai demi sehelai hamba baca, hati mula rasa tidak sedap, akhirnya segala persoalan kehilangan sahabat terjawab apabila membaca setiap baris ayat yang dikarangkan.

Hamba terduduk, apabila mata ini terhenti pada ayat yang dikarangkan sahabat "usah dicari atau ditunggu, kerana setiap barang yang hadir pasti akan berlalu." Puas hamba memikirkan apakah yang tersirat di sebalik kata-kata ini, sehinggalah bacaan hamba sampai pada lembaran khas yang dikarang khusus buat hamba yang tertera tulisan jawi di atasnya "Warkah Terahsia Amanah Perjuangan Busana Melayu" yang mana di dalamnya tertera nama hamba sendiri atas permintaan beliau untuk hamba meneruskan Perjuangan Busana yang mana ada disebutkan beberapa nama sahabat busana lain untuk hamba temui dalam melestarikan "Pakaian Patut Melayu" seperti Abg Sopi, Apek, Abg Fariz, Johan Iskandar, Tun Farul, Saharudin Esa, dan Zainal Johan. 

Saat hamba ingin menulis kesemua ini, hamba gagahkan diri walau hati ini masih tertanya-tanya dimanakah perginya sahabat 3 beradik ini. Berat hati ini merasakan, bertambah berat lagi apabila diri yang masih cetek perihal busana ini diberikan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan ini. MasyaAllah. Hamba tidak dapat mengarang lebih panjang kerana segala yang dicatatkan beliau banyak yang terpaksa hamba rahsiakan dan sekadar ini sahaja yang dapat hamba kongsikan untuk tatapan semua. 

Mulai saat ini, hamba diamanahkan sendiri oleh sahabat untuk meneruskan Amanat Perjuangan Busana Toko Saudagar Tekua. Walau di mana beliau berada, andai benar beliau sudah tiada lagi, semoga beliau terus tenteram di sana. insyaAllah. Ely, aku akan cuba yang terbaik buat perjuangan ini. Alfatihah. 

(insyaAllah akan hamba kongsikan Warkah Wasiat Perjuangan Terakhir Bani Ta Mim ini apabila tiba masa yang ditetapkan nanti)

Wallaualam bissawab.

Faizee

No comments:

Post a Comment